Tuesday, November 22, 2011

Syahadah & Birokrasi

Baru-baru ni seorang jiran saya yang hanya dikenali sebagai Uncle Lim meninggal dunia. Uncle Lim seorang yang baik. Gemar membantu jiran yang dalam kesusahan. Kebaikannya disenangi oleh ramai orang.

Dilahirkan dalam keluarga cina di kampung Melayu, jadinya Uncle Lim sudah biasa dengan orang Islam. Perkataan macam alhamdulillah, asalamualaikum dan inshaAllah sudah menjadi percakapan biasa baginya. Niatnya bukan untuk mempersenda tapi lebih kepada terbiasa disebabkan pergaulan sehariannya disekeliling masyarakat Muslim.

Seringkali jiran-jiran bercerita tentang Uncle Lim yang pernah meluahkan hasrat untuk memeluk Islam. Namun, mungkin sangsi dan menyangka niatnya main-main maka sehinggalah hari matinya, Uncle Lim masih bukan Islam. Memeluk Islam bagi mereka rumit kerana terpaksa mencari masa membawa (bakal) mualaf ke pejabat agama yang jauh dan mengisi borang yang pelbagai. rumit sekali.


Akan tetapi, sebenarnya memeluk Islam tidak memerlukan itu semua. Cukuplah bersaksi Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Maka Islam lah dia itu. Dan sesiapa juga boleh mengislam seseorang yang lain. Tak perlu melalui suatu proses rumit dan menyusahkan. Kerana Islam itu menyenangkan.

Malangnya, kerenah birokrasi dan sikap kita menyebabkan seseorang itu yang sepatutnya mendapat cahaya hidayahNya mati dalam keadaan tidak beriman.

Ajal, takdir dan hidayah itu tidak seharusnya dijadikan alasan atau penyebab untuk menutup kelemahan kerana kita pernah diberikan peluang. seharusnya tidak dipersiakan. selebihnya urusan Dia.

Semoga kita dapat selamatkan ramai lagi Uncle Lim di luar sana dan muslim yang masih jauh dariNya.
Kerana Islam bukan hanya untuk kita.

Untuk diri ini khususnya.